Thursday, June 17, 2010
Saingan Cub Prix Semakin Sengit
NORIZMAN Ismail membuktikan kemenangan di Litar Batu Kawan sebelum ini bukan sekadar nasib apabila meraih gelaran juara buat kali kedua pada Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas AAM di Litar Sepang Utara, Ahad lalu (13 Jun 2010).
Pelumba SCK Honda Racing itu melakukan henjutan terakhir sebaik memasuki laluan lurus menuju ke garisan penamat untuk memintas Md. Zamri Baba (Petronas Sprinta Yamaha AHM) dan Ahmad Fazli Sham (Shell Advance Yamaha Maju) yang berada di hadapannya.
Norizman menamatkan perlumbaan 13 pusingan itu dalam masa 18:28.950s, hanya 0.061 saat di depan Fazli yang mencatat masa 18:29.011s diikuti Zamri di tempat ketiga (18:29.237s).
“Ia adalah perlumbaan paling getir dan sengit dalam sejarah karier perlumbaan saya. Sejak dari mula saingan lagi, cabaran yang diberikan sembilan pelumba di kelompok depan cukup sengit malah saya akui tidak berapa yakin untuk mencapai kemenangan ini.
“Selepas pusingan keempat, saya dapat memahami jentera saya dan ia mempunyai kelebihan di laluan lurus sebaliknya pada saingan di selekoh, ia memberi sedikit masalah buat saya. Dengan itu, saya membuat keputusan untuk memberi kejutan pada saat-saat akhir dan berasa amat gembira kerana berjaya melakukannya.
“Kejayaan ini juga menyuntik semangat dan keyakinan saya memburu podium seterusnya. Mungkin kemenangan di Sepang ini membolehkan saya mengulangi pencapaian hebat musim 2005 lepas,” ujar Norizman mengimbas nostalgia muncul juara Expert musim tersebut.
Kemenangan Norizman di Sepang membolehkan dia memperbaiki ranking keseluruhan apabila kini menduduki tempat kedua dengan 69 mata.
Bekas juara Expert sebanyak dua kali, Fazli masih menerajui kedudukan dengan 76 mata sementara Ahmad Fuad Baharudin (Petronas Sprinta Yamaha AHM) berada di tempat ketiga dengan 59 mata.
Dalam perebutan anugerah berpasukan, pasukan Petronas Sprinta Yamaha AHM masih mendahului dengan 110 mata diikuti pasukan Shell Advance Yamaha Maju (101 mata) manakala SCK Honda Racing di tempat ketiga (88 mata).
Dalam saingan kelas CP115, pelumba Motul Yamaha YY Pang, Md. Rozaiman Md. Said turut mencapai kemenangan tipis pada aksi perlumbaan akhir untuk memberi kemenangan sulungnya musim ini.
Rozaiman hanya mempunyai kelebihan 0.007 saat di depan pelumba muda, Md. Ramdan Md. Rosli (Petronas Sprinta Yamaha AHM) apabila mencatat masa 15:55.470 saat sementara Ramdan di tempat kedua dengan 15:55.477 saat. Md. Firdaus Musa pula berada di tempat ketiga dengan 15:55.510 saat.
“Ini kemenangan paling bermakna buat saya. Tambahan, sudah terlalu lama saya tidak mengecapi saat-saat manis sebegini. Bagaimanapun, kejayaan ini bukan sesuatu yang mudah. Semua pencabar cukup hebat dan jentera mereka semakin kompetitif.”
Keputusan di Sepang bagaimanapun membolehkan Ramdan memintas rakan sepasukan, Md. Iskandar Raduan untuk menerajui kedudukan keseluruhan hasil pungutan 81 mata diikuti Iskandar (76 mata) dan juara di Sepang, Rozaiman di tempat ketiga (67 mata).
Gandingan Ramdan dan Sharil Izzuwan dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha AHM membolehkan pasukan itu menerajui anugerah berpasukan dengan 122 mata diikuti pasukan Petronas Sprinta Yamaha Raceline (102 mata), dan Motul Yamaha YY Pang di tempat ketiga dengan 63 mata.
Dalam saingan kategori Wira, naib juara keseluruhan musim lepas, Mohd. Adib Rosley sekali lagi membuktikan kewibawaannya dalam perlumbaan akhir apabila mengungguli saingan kelas tersebut.
Sekalipun dicabar hebat oleh pelumba muda, Amirul Hafiq Md. Azmi dari awal saingan, Adib tenang untuk melintasi garisan penamat dengan catatan masa 13:26.427 saat.
“Memang saya berazam untuk menang dalam perlumbaan ini. Kemenangan ini membantu menghidupkan peluang untuk saya kembali bersaing dalam senarai kedudukan keseluruhan.
“Begitupun, perancangan pasukan untuk melihat pertarungan antara saya dan Azhar di perlumbaan akhir ini tidak menjadi kenyataan. Namun saya tetap bersyukur, pasukan Motul Yamaha YY Pang berjaya mencatat kemenangan 1-3 di sini,” ujar Adib.
Kemenangan kedua musim ini membolehkan Adib kembali bersaing dalam perebutan gelaran keseluruhan apabila mengumpul 50 mata dan menduduki tempat kelima selepas pusingan keempat ini. Md Syawalludin Md. Zaki dari pasukan Modenas Forty One Racing masih menerajui kedudukan ketika ini dengan 60 mata diikuti Azhar (57 mata) di tempat kedua dan Md. Fitri Asharf Razali (54 mata) di tempat ketiga.
Perlumbaan seterusnya akan berlangsung di Kuala Terengganu, Terengganu pada 9 dan 10 Julai depan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
-
PIALA DUNIA FIT TOUCH 2019 MALAYSIA KUALA LUMPUR, 22 APRIL - Skuad negara kini sudah bersedia untuk berdepan dengan apa juga bentuk a...
-
WORLD Cup 2010 is just around the corner. The magazine highlighting on the event is also in the market now. The latest is Panduan Menuju Afr...
-
MALAYSIAN Cub Prix championship or popularly known as Cub Prix amongst local motorsports enthusiasts is back on the track. Actually, it has ...
Jom serbu KT dan saksikan sama ada Norizman boleh cipta hat-tick tak..dlm sejarah Cub Prix hanya Fazli #46 berjaya lakukan hatrik pd 2008!
ReplyDeleteModenas akan dominasi saingan di KT...awas kebangkitan kami!
ReplyDeletei rasa yamaha masih strong...
ReplyDeletehidup modenas, honda. ayuh tawan Ganu.
ReplyDelete