Sunday, June 10, 2012




Penguasaan Amirul di Teluk Intan

MOHD. Amirul Ariff Musa menghadiahkan kemenangan bermakna buat pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini apabila meraih gelaran juara kategori CP115 pada Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 di Teluk Intan, Perak pada 10 Jun lalu.
Kemenangan itu merupakan kemenangan pertama yang diraih pengurus yang juga merupakan bekas pelumba MotoGP negara di tempat kelahirannya sendiri.
Amirul yang beraksi buat pasukan Pachie Yuzy Honda Racing menamatkan perlumbaan 12 pusingan dengan masa keseluruhan 11 minit 56.336 saat menewaskan Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui Racing) kedua dengan catatan 11:58.823s manakala pendahulu keseluruhan, Mohd. Iskandar Raduan (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) menamatkan saingan di tempat ketiga dengan masa 12:01.167s.
Juara Pusingan 3 di Kangar itu berkata: “Saya gembira kerana akhirnya berjaya menghadiahkan gelaran juara di Teluk Intan, sesuatu yang sangat dinanti-nantikan oleh Yuzy selama ini.”
Mengulas mengenai perlumbaan semalam, Amirul menjelaskan bahawa ia memang sengit sejak daripada awal saingan lagi.
“Walaupun berjaya mendahului pelumba lain, namun Iskandar dan Mohd. Afif Amran (CKJ Yamaha Racing) sentiasa mencari ruang untuk memintas saya. Tambahan pula, Afif berjaya memintas saya pada pusingan ketujuh namun tidak lama selepas mendahului perlumbaan, dia terjatuh dan ini membuka ruang untuk saya kembali berada di hadapan,” jelas Amirul yang kini berada di kedudukan kedua dalam senarai keseluruhan dengan 81 mata.
Iskandar terus mendahului kedudukan setelah berjaya menambah 16 mata menjadikan jumlah keseluruhan kepada 94 mata setakat ini manakala Ahmad Abdul Kadir berada di kedudukan ketiga dengan 79 mata.
Gandingan Iskandar dan Shahril Izzuwan Mohd. Noor yang menamatkan perlumbaan di tangga keempat terus mengukuhkan kedudukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM sebagai pendahulu keseluruhan kategori berpasukan berpasukan dengan 157 mata, 64 mata mengatasi Pachie Yuzy Honda Racing (Amirul/Mohd. Rozaliman Zakaria) manakala M-Seki Liberty Honda Racing (Sasitharen Sukumaran/Mohd. Emir Firdaus Hasan) ketiga dengan 92 mata.
Sementara itu, Norizman Ismail mempertahankan kemenangan bagi kategori CP130 di Teluk Intan musim lepas apabila menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan catatan masa keseluruhan 14:36.764s di hadapan Azlan Shah Kamaruzaman.
Azlan menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 14:36.844s diikuti pelumba berusia 18 tahun yang beraksi untuk musim pertama dalam kategori perdana, Mohd. Fitri Ashraf Razali ketiga 14:37.144s.
Dalam kategori Wira, Fakhrusy Syakirin Rostam meraih kemenangan ketiga peribadi dan kedua secara berturut-turut pada musim ini setelah menamatkan perlumbaan 10 pusingan itu dengan catatan masa keseluruhan 9:57.055s.
Pelumba pasukan AAP Mazoil Armstrong Motorsport itu sebelum ini meraih gelaran juara pada Pusingan 2 di Kuala Terengganu dan Pusingan 4 di Banting menewaskan Tengku Amirul Haffiruddin dari pasukan Motul Yamaha YY Pang yang menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 9:59.002s. Tempat ketiga menjadi milik pelumba persendirian, Khairul Idham Pawi dengan catatan 10:08.581s.

No comments:

Post a Comment