SEPERTI dijangka, ratu terjun negara, Pandelela Rinong mengukir kejutan
buat kontinjen negara pada Sukan Olimpik 2012 London apabila menghadiahkan
pingat gangsa dalam acara terjun 10 meter platform individu wanita semalam.
Kejayaan itu juga menjadikannya atlet wanita pertama negara berjaya meraih
pingat pada temasya sukan terbesar di muka bumi itu.
‘Dayung’ (gadis) dari Sarawak berusia 19 tahun itu mengumpul 359.20 mata untuk
berada di tempat ketiga di belakang pemenang pingat emas, Chen Ruolin dari
China (422.30 mata) dan pemenang pingat perak, Brittany Broben dari Australia
(366.50 mata).
Ia merupakan acara terakhir yang disertai Pandelela pada temasya kali ini
dan penyudahnya sungguh menakjubkan sekali gus menghadiahkan pingat kedua
negara pada Sukan Olimpik 2012 London.
Pingat pertama kontinjen negara disumbangkan oleh pemain badminton perseorangan lelaki
negara, Datuk Lee Chong Wei yang turut menang pingat perak dalam acara perseorangan
lelaki, Ahad lepas di Arena Wembley.
Dengan kejayaan Pandelela itu, pencapaian Malaysia pada temasya kali ini
lebih baik berbanding hanya satu pingat perak pada temasya yang sama di Beijing
empat tahun lalu.
Pada temasya di Beijing, badminton menjadi penyumbang pingat tunggal negara menerusi Chong Wei yang
turut memenangi pingat perak.
Pada aksi yang berlangsung di Pusat Akuatik London semalam, Pandelela tidak
bermula dengan baik. Dia menduduki ranking ketujuh selepas melakukan terjunan
pertama pada tahap kesukaran 3.0. Dia sekadar memungut 58.50 mata.
Pada terjunan kedua, dia tampil dengan aksi yang mempersonakan apabila
memungut 78.30 mata pada tahap kesukaran 2.9 namun gagal memperbaiki rankingnya
untuk berada dalam kelompok tiga teratas.
Keadaan semakin mencemaskan apabila kedudukannya turun ke ranking ke-11
selepas terjunan ketiga yang menyaksikannya sekadar meraih 64.00 mata pada
tahap kesukaran 3-2. Tahap kesukaran ini memerlukan dia melakukan dua kali
somersault dan satu setengah twiss/pusingan sebelum melakukan entri.
Begitupun, kedudukan tersebut tidak memberi sebarang tekanan kepada
penerjun kelahiran Sarawak itu yang tetap nampak tenang sebelum melakukan
terjunan keempat. Dia perlu mencatatkan mata maksimum sekiranya mahu menduduki
ranking pertama.
Terjunan keempat pada tahap kesularan 3.2 memerlukannya melakukan tiga setengah
pusingan 'inward somersault' yang merupakan gaya paling digemarinya.
Seperti yang dijangka dia berjaya melakukannya dengan baik sekali gus
melakukan entri yang cukup kemas.
Mata maksimum berjaya diraihnya dan kesemua tujuh juri memberikannya 8.5
mata untuk memungut jumlah keseluruhan 81.60 mata sekali gus menduduki ranking
pertama.
Pingat emas sudah terbayang tetapi dua penerjun pilihan ketika itu belum
memulakan giliran mereka, dan seperti dijangka Roulin dan Brittany berjaya
memintas kedudukan Pandelela untuk meletakkannya di kedudukan ketiga.
Pada terjunan kelima Pandelela mengekalkan kedudukannya selepas meraih
76.80 mata pada percubaan terakhir itu untuk membolehkannya menggengam pingat
gangsa.
"Saya puas dan sangat gembira dengan kejayaan ini. Saya sangat
seronok.
“Saya juga berharap kejayaan ini dapat membantu melonjakkan lagi semangat
atlet muda untuk terus bekerja keras dalam karier masing-masing,” kata
Pandelela selepas berkahirnya aksi tersebut semalam.
“Kejayaan ini adlaah untuk semua rakyat Malaysia yang tidak jemu-jemu
menyokong kami sepanjang beraksi pada Sukan olimpik London ini.”
Pada temasya kali ini, Pandelela beraksi dalam tiga acara iaitu 3m papan
anjal seirama wanita bersama Cheong Jun Hoong serta 10m platform seirama
bersama Leong Mun Yee.
Dalam dua acara awal itu, Pandelela dan pasangannya gagal meraih sebarang
kejayaan walaupun berjaya melangkah ke final.
Sebelum bermulanya temasya Olimpik London ini, Pandelela telah banyak
mengukir kejayaan sama ada dalam acara individu mahu pun seirama.
Pencapain terbaiknya dalam acara 10m paltform individu wanita ialah pada
Kejohanan Dunia di Moscow tahun lalu yang menyaksikannya meraih pingat perak.
Pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China dia berjaya menghadiahkan pingat
gangsa buat kontinjen negara dan sebelum itu pada Sukan Olimpik Remaja 2010 di
Singapura dia memenangi pingat perak.
Sebelum, bertandang ke London, Pandelela bersama-sama skuad terjun yang
lain telah mengadakan latihan di China di bawah kendalian Yang Zhuliang.
No comments:
Post a Comment