Saturday, April 27, 2019

  
Keratan laporan akhbar tempatan
DRAMA LIGA M TAK PERNAH BERAKHIR

SALAM sejahtera semoga kalian semua berada dalam keadaan sihat dan terbaik selalu.
Minggu ni macam menarik je perkembangan bolasepak kita, jadi saya rasa teruja nak kongsi pandangan. Ni sekadar pendapat peribadi saya.
Liga Bolasepak Malaysia (Liga M) penuh dengan segala bentuk drama.
Gaji pemain tak dibayar, pasukan tarik diri, pemain tamatkan kontrak lebih awal, penaja merajuk, masalah kewangan pasukan makin parah dan bermacam-macam lagi.
Katanya Liga M dah pro sepenuhnya tetapi masih diwarnai dengan cerita-cerita sedih.
Apa sudah jadi beb?
Kalau berterusan macam ni, langkah-langkah untuk membangunkan bolasepak negara terus terbantut.
Cerita terbaharu lagi panas beb!
Beberapa buah pasukan macam merajuk je bunyinya.
Ni mesti gara-gara tindakan Malaysian Football League (MFL) mengenakan hukuman pemotongan geran sebanyak 50 peratus kepada beberapa pasukan yang bersaing dalam Liga M.
Kalau tak silap, tujuh pasukan yang terlibat dengan hukuman tersebut iaitu Kuala Lumpur, Felda United, Melaka United (Liga Super), Sarawak, Kelantan, PDRM dan Pulau Pinang yang bersaing dalam Liga Perdana.
Dah la kena potong geran, pasukan-pasukan Sarawak, Kuala Lumpur, Kelantan dan Pulau Pinang pula turut dikenakan sekatan membeli pemain baharu pada jendela perpindahan kedua bermula 2 Mei ini.
Adoiii....ni naya punya kes beb..dah la jatuh, ditimpa tangga pula.
Ganas betul MFL ni. Tak bagi chance langsung!
Ekoran tindakan MFL itu, Presiden Sarawak FA, Datuk Posa Majais terus naik angin beb.
Dah la pasukan dari bumi kenyalang tu sedang berdepan dilema kewangan, geran pula kena potong, mana tak naik angin.
Dengan lantang Posa meminta Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam letak jawatan.
Betul-betul naya punya kes ni. 
Posa bagitau, MFL gagal menjaga kepentingan pemegang taruh dan Kevin wajar letak jawatan.
Katanya, banyak kelemahan telah dikenalpasti selama ini termasuk kecelaruan jadual perlawanan, isu penyertaan dan pembatalan pasukan Perlis selain status insuran yang masih tergantung sehingga kini.
Reaksi di pihak MFL pula lain ceritanya.
Kevin dengan selamba jawab: "Kalau semua pasukan ikut peraturan yang telah ditetapkan, tiada pasukan yang kena denda."
Kesimpulannya simple je. Kalau ikut peraturan, semuanya selamat. 
Tak gitu?
Kalau ikut pandangan peribadi saya mudah je. 
Apabila kita bernaung di bawah sesuatu badan, tetap ada peraturan yang perlu kita ikut. 
Penubuhan MFL adalah untuk penswastaan Liga M,sesuai kehendak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Sudah pasti ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh semua pasukan walaupun
kadang-kadang tu, pertimbangan, budi bicara perlu juga diguna pakai.
Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam soal ini.
Walaupun liga kita ni kononnya dah melangkah ke era profesional, tetapi masih ada pasukan yang tahap pengurusannya kekal di takuk lama.
Tujuan MFL adalah agar semua pasukan diurus secara profesional dalam semua aspek termasuk urusan-urusan pentadbiran, mencari dana dan sebagainya.
Tetapi matlamat tersebut belum dapat direalisasikan sepenuhnya kerana masih ada pasukan yang belum memperlihatkan cara pengurusan yang profesional.
Soal pemberian geran dan sebagainya, saya yakin ada tuntutan-tuntutan tertentu yang perlu dipatuhi oleh semua.
Tetapi, MFL ni satu hal pula.
Lain kali, kalau nak agihkan geran tahunan tu, bagi la lebih awal sikit iaitu sebelum bermulanya musim baharu.
Ke time tu, MFL tak ada duit lagi nak bagi sebab penaja utama mereka dah plan nak 'cabut'.
Saya rasakan, MFL tak dapat duit lagi kot time tu.
Patut la ketika saingan liga dah di pertengahan jalan, baru nak bagi. Kacau macam ni beb!
Kalau bagi awal sikit, ada la juga duit buat persatuan negeri untuk bergerak sambil mencari dana sendiri. Kesian dengan Perlis yang menjadi mangsa.
Di pihak FA negeri pula, cuba-cuba la jangan terlalu bergantung dengan 'subsidi'. Kalau asyik subsidi je, makin naik lemak jadinya beb.
Tapi kan, kalau macam ni la gayanya setiap tahun, makin banyak pasukan akan mengalami nasib seperti Perlis pada masa akan datang.
Tak semua pasukan dalam Liga M ni mampu mencari dana sendiri untuk menguruskan pasukan yang menelan jutaan ringgit Malaysia semusim.
Berapa kerat je syarikat gergasi di negara kita ni yang sanggup nak menaja...kalau ada pun, dia orang mungkin tak berminat kerana liga kita ni gagal nak tarik penonton ke stadium.
Sedih betul la!
Syarikat gergasi seperti Berjaya Group milik Tan Sri Vincent Tan pun tak pandang liga kita. Dia lebih berminat nak taja kelab Liga Perdana England, Cardiff City.
Pemilik AirAsia pun sama.
Apa barang taja pasukan Liga M. Mampus kalau terus macam ni beb.
Liga kita ni jutawan kosmetik tempatan je berminat nak taja, tetapi berapa lama mereka boleh bertahan?
Jadi, ni la masalah-masalah yang harus diberi perhatian dan jalan penyelesaian perlu diambil segera.
Jika tidak, tenat la jawabnya.
Eh, ada lagi ni tindakan MFL yang terlupa saya nak share.
Lain kali, kalau nak buat perubahan dengan perjalanan liga, elok buat awal-awal sebelum saingan bermula. Ni tak, bila dah start liga, ada je perubahan dilakukan.
Tak elok macam tu beb, ia jejaskan rentak semua pasukan. Utamakan pembangunan dan jangan buat perubahan untuk memberi kelebihan kepada pasukan tertentu je.
Begitupun, apa juga isu yang timbul sejak kebelakangan ini, elok la diselesaikan cara baik.
Semua ada kelemahan baik MFL, FA Negeri dan sebagainya.
Buang la yang keruh dan ambil yang jernih. Masa depan bolasepak kita harus dijaga.

No comments:

Post a Comment