MEMANG seronok bila bercakap tentang bola sepak. Tidak hairan kenapa ia dilabel acara sukan No.1 di muka bumi.
Bila bab bola sepak, pastinya kehebatan Manchester United menjadi topik hangat untuk dibicarakan walau di mana sekali pun.
Bila United tewas pada perlawanan Liga Perdana England, satu dunia kecewa. Saya ingatkan hanya masyarakat Manchester sahaja yang kecewa, rupa-rupanya seantero dunia termasuk di Malaysia.United kalah, penyokongnya mahu pun di Malaysia, tidak akan mengutuk prestasi skuad dari Old Trafford itu sebaliknya sanggup memuji dan mengungkapkan kata-kata penuh semangat. Begitu hebat pengaruh United di kalangan peminat bola sepak global.
Bagaimana pula dengan bola sepak Malaysia? Adakah peminat tempatan akan berbuat sedemikian seperti mana mereka menyanjungi United.Yang pasti, bola sepak Malaysia sekadar menjadi bahan kritikan dan kutukan.
Pujian memang tiada langsung. Andai tewas pada pertandingan, 'sebakul' maki hamun dilemparkan kepada pemain dan FAM.
Mungkin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu menerima maki hamun daripada peminat tempatan ini secara terbuka. Maki hamun ini membawa maksud yang sangat jelas - peminat mahu melihat bola sepak Malaysia sehebat United agar mereka bangga apabila menjadi penyokong.
FAM peru mengakui bahawa mereka telah gagal dengan tanggungjawab untuk membangunkan bola sepak ke tahap yang paling cemerlang. ( Sukan SEA pun tak lepas...). Sepanjang saya membabitkan diri dalam kewartawanan sukan, saya belum lagi melihat skuad bola sepak negara meraih kejayaan di persada antarabangsa. Jurulatih bersilih ganti, program pembangunan sudah 1001 satu macam, liga memasuki era profesional tetapi prestasi masih di takuk lama. Adakah program yang dijalankan itu untuk kebaikan bola sepak atau untuk kebaikan peribadi?
Projek skuad Barcelona92, projek Piala Dunia Remaja 1997 dan pelbagai lagi...semuanya tidak membuahkan hasil. Pemain yang dilahirkan daripada projek-projek ini bagaikan masih belum faham apa itu bola sepak. Rentak permainan mereka tidak ubah seperti orang yang baru mengenal sukan No. 1 negara itu.
Terbaru, Harimau Muda pula diperkenalkan. Hala tujunya masih menjadi persoalan...tetapi yang pasti ia satu pembaziran masa dan wang....mungkin ia diwujudkan bagi menunjukkan FAM buat kerja. Percayalah, masa depan skuad Harimau Muda ini akan mengalami masalah yang sama seperti mana projek-projek terdahulu.
Mereka juga bakal menemui kegagalan dalam karier masing-masing seperti mana nasib pemain-pemain dalam skuad projek terdahulu.
Kita banyak meniru gaya program pembangunan bola sepak Eropah, tetapi mentaliti pemain tidak dididik ke arah itu.
Mungkin FAM perlu tanya diri sendiri, ke mana haluan pemain asuhan mereka selepas ini? Beraksi dalam Liga Perdana England atau Liga Perdana Malaysia? Kalau setakat Liga Perdana Malaysia, tidak perlu program pembangunan, Liga Piala Menteri Pelajaran 100Plus sudah cukup untuk mendedahkan mereka.
Pemilihan skuad kebangsaan pula satu hal. Senarai pemain sudah ada dan langkah ini mematikan terus bakat lain dalam Liga Malaysia untuk menonjolkan bakat masing-masing.
Ketika zaman kegemilangan bola sepak negara satu ketika dulu, cara pemilihannya berbeza. Pemain yang dipilih akan diumum sebaik pertandingan Piala Malaysia berakhir. Yang dipanggil hanya yang terbaik daripada pertandigan tersebut. (Dulu hanya Piala Malaysia sahaja yang ada tidak seperti sekarang, sepanjang tahun ada pertandingan - Liga M tetapi pemain berkualiti semakin sukar dikesan). Sebab itulah zaman dulu, semua pemain bekerja keras untuk menonjolkan bakat masing-masing dengan harapan dipilih menganggotai skuad negara. Sekarang, siapa yang bakal menyarung jersi skuad kebangsaan sudah diketahui dan akibatnya, bakat yang lain tidak mendapat tempat. Walaupun pemain yang sudah tersenarai dalam skuad kebangsaan itu beraksi hambar dalam liga tempatan tetapi dia tetap dipanggil. Begitulah trend pemilihan sekarang dan budaya ini dilihat telah mematikan minat bakat lain untuk bekerja keras. Aibatnya, persaingan liga tempatan kurang seronok kerana pemain lain tiada matlamat tertentu untuk diburu.
Mungkin elok FAM kembali dengan cara pemilihan zaman dulu agar semua pemain yang terlibat dalam liga tempatan sentiasa bekerja keras untuk meningkatkan prestasi masing-masing bagi merebut tempat dalam skuad negara. Mentaliti pemain sudah tidak meletakkan sasaran untuk menyarung jersi kebangsaan kerana mereka tahu sudah tiada tempat bagi mereka dalam skuad negara. Bila skuad kebangsaan mencatat kegagalan pada pertandingan peringkat antarabangsa, alasan yang sering diutarakan ialah Malaysia tidak memiliki pemain. Sebenanrya, semangat pemain itu sudah mati dengan gaya pemilihan yang diamalkan sekarang. Mereka fikirkan tidak perlu bekerja keras kerana tiada sasaran untuk diburu. Cukup sekadar mengekalkan prestasi yang bersesuaian dengan mutu liga tempatan. Bila FAM perkenalkan projek baru pula, kenyataan mereka terhadap sasaran, sama sahaja. "Kita tidak boleh mengharapkan 'instant result' , beri kami masa lima tahun untuk memantapkan skuad ini." Begitulah yang sering diutarakan dan 20 tahun dulu, kenyataan yang sama juga dinyatakan dan sekarang hasilnya masih belum kelihatan. Yang pasti, rugi wang dan masa. Jika beginilah trendnya, bola sepak Malaysia akan terus berada di takuk lama. Usah mimpi untuk menjejak kaki ke Piala Dunia jika program yang dijalankan terus menerus menemui kebuntuan. Hasrat beraksi dalam Piala Dunia hanya akan tercapai SEKIRANYA MALAYSIA MENJADI TUAN RUMAH. Ayuh FAM, kembalikanlah kegemilangan bola sepak negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
-
PIALA DUNIA FIT TOUCH 2019 MALAYSIA KUALA LUMPUR, 22 APRIL - Skuad negara kini sudah bersedia untuk berdepan dengan apa juga bentuk a...
-
WORLD Cup 2010 is just around the corner. The magazine highlighting on the event is also in the market now. The latest is Panduan Menuju Afr...
-
NORIZMAN Ismail membuktikan kemenangan di Litar Batu Kawan sebelum ini bukan sekadar nasib apabila meraih gelaran juara buat kali ked...
No comments:
Post a Comment