
Negeri Sembilan pula mendahului saingan Kumpulan B dengan sembilan mata selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut. Johor FC yang dikejutkan oleh Perak di halaman sendiri Sabtu lalu, mengetuai kedudukan dalam Kumpulan C dengan enam mata. Perak yang berada di tangga kedua turut meraih enam mata.
Kumpulan D menyaksikan Selangor terus mempamerkan reputasi sebagai juara Liga Super. Skuad kendalian K. Devan itu kini mendahului kedudukan dengan sembilan mata diikuti KM Naza yang meraih tiga mata. Saingan dalam kumpulan ini masih terbuka memandangkan Sabah dan PDRM turut meraih tiga mata.Perebutan untuk tempat kedua kumpulan akan menjadi persaingan antara tiga pasukan terbabit.
Kelantan nampaknya terus garang. Sentuhan bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan telah membawa nafas baru kepada skuad yang mendapat jolokan Wira Merah itu. Kelantan kini selesa di puncak kumpulan dengan sembilan mata sementara Pulau Pinang di tempat kedua dengan empat mata. Apa yang mengejutkan saya pada saingan kali ini ialah prestasi Kedah, selaku juara treble. Kedah nampaknya masih belum menemui rentak sebenar. Prestasi mereka merudum dengan ketara lebih-lebih lagi selepas kehilangan penggempur utama mereka, Khyril Muhymeen yang terpaksa melupakan terus saingan Piala Malaysia akibat kecederaan. Penggantinya masih belum mampu untuk memegang watak sebagai penggempur. Ia jelas memeningkan jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah kerana setiap percaturan yang dilakukannya tidak menampakkan sebarang kesan. Ada juga yang mengatakan, sengat Kedah hilang selepas khidmat pemain import dimansuhkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) musim ini. Peminat mereka kata, Kedah sebelum ini terlalu mengharapkan sentuhan Marlon Alex James dan tanpa Marlon, pemain tempatan bagaikan hilang arah. Mungkin padangan itu betul atau sebaliknya. Apa yang pasti, Kedah musim ini mengalami kesukaran untuk mendapatkan pemain baru bagi memenuhi perancangan jurulatih. Harapan Azraai untuk meminjam pemain daripada kelab lain pada siangan Piala Malaysia juga menemui kegagalan. Dia tiada pilihan selain meneruskan saingan dengan pemain yang ada dalam pasukan. Semalam, MB Kedah dilaporkan kecewa dengan prestasi skuad Kedah. Persoalannya, adakah dia mengetahui masalah yang dihadapi dalam skuad bimbingan Azraai itu sekarang? Kedah kekurangan pemain dan Azraai telah memohon untuk mendapatkan pemain pinjaman tetapi tak dipenuhi. Kalau kecewa, kena turun padang dan tanya Azraai apa yang sedang melanda pasukan sekarang. Kalau kecewa, kena bertindak segera untuk mengatasinya.
No comments:
Post a Comment