Thursday, May 13, 2010

Bintang yang tiada pengganti


 
 ALLAHYARHAM Mokhtar Dahari dianggap antara pemain terbaik Asia sekitar tahun 1970an.
Dilahirkan di Setapak, Kuala Lumpur, allahyarham telah mula menunjukkan minat dalam sukan bola sepak sejak kecil. Dia mula mewakili sekohanya dan kemudian beraksi untuk negeri Selangor. Dia merupakan pelajar Victoria Institution, Kuala Lumpur pada tahun 1966 hingga 1970.
Mula mewakili skuad kebangsaan pada usia 19 tahun. Sepanjang kariernya, dia telah menjaringkan 125 gol untuk skuad negara dan memiliki 167 caps. Dianggap penyerang terbaik pernah dilahirkan oleh Malaysia. Aksi pertamanya dengan skuad kebangsaan ialah ketika menentang Sri Lanka pada tahun 1972.

 Stadium Merdeka dianggap 'rumah keduanya'. Dia mendapat jolokan 'Supermokh' kerana kehebatan, kepantasan serta kemhairan menggelecek bola. Ketika zaman kemuncaknya, skuad bola sepak negara sangat dihormati di rantau Asia. Ketika itu skuad negara turut dibarisi pemain-pemain seperti Santokh Singh, Soh Chin Aun (kini Datuk), Reduan Abdullah, Shukor Salleh dan gandingannya di jentera serangan termasuk Isa Bakar. Pada zaman inilah bola sepak Malaysia dan Selangor memang sukar digugat.



Pada tahun 1975, Mokhtar mengetuai skuad negara pada aksi persahabatan menentang kelab England, Arsenal yang menyaksikan skuad negara menang 2-0. Kedua-dua gol dihasilkan oleh Mokhtar. Kehebatannya menjaringkan gol pada perlawanan menentang England B pada tahun 1978, masih kekal dalam ingatan peminat bola sepak tempatan sehingga ke hari ini. Pada perlawanan tersebut kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 1-1.
Pada Mei 1986, Mokhtar mengumumkan persaraan selepas membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia. Selepas perlawanan akhir itu, dia menyerahkan jersi No.10 kepada Raja Muda Selangor. Begitupun, dia kembali dari persaraan pada Januari 1987 untuk menabur bakti selama setahun lagi buat pasukan Selangor.
Pada usia 37 tahun, penyerang terhebat di Asia ini meninggal dunia akibat penyakit amyotrophic lateral sclerosis di Pusat Perubatan Subang Jaya pada pukul 8:25, 11 Julai 1991.
Sehingga ke hari ini penggantinya masih belum ditemui.
Bagi mengingati pengorbanannya, gelanggang utama di Kompleks Futsal Presint 18, Putrajaya telah diberi nama Gelanggang Mokhtar Dahari. Perasmiannya telah disempurnakan oleh Sultan Pahang, Sultan Hai Ahmad Shah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 8 Mei 2010.

1 comment:

  1. mokhtar u the best! sayang sukan bolasepak kita sekarang di satu peringkat yang sangat memalukan!

    ReplyDelete