AHM mahu tawan Teluk Intan
PASUKAN PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM mempertahankan percaturan mereka dalam kategori CP130 bagi menghadapi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang akan memasuki Pusingan 5 di Teluk Intan, Perak pada 9 dan 10 Jun ini.
Saingan musim ini menyaksikan pengurus pasukan, Kenny Chua meletakkan gandingan pelumba berpengalaman, Mohd. Iskandar Raduan dan juara bertahan, Shahril Izzuwan Mohd. Noor untuk membawa cabaran dalam kategori CP115 manakala dua pelumba muda, Mohd. Ramdan Mohd. Rosli yang merupakan juara CP115 2010 bersama-sama Zulsyafiz Rosli, juara Wira 2011 berganding bahu dalam kelas perdana, CP130.
Walaupun menerima pelbagai kritikan, bagi Kenny keputusan meletakkan pelumba muda, Ramdan dan Zulsyafiz dalam kategori CP130 adalah tepat bagi memberi peluang kepada mereka bersaing dengan pelumba senior.
Proses tersebut boleh mempercepatkan perkembangan mereka dalam industri sukan pemotoran negara. Pengalaman Shahril dan Iskandar pula dapat membantu mempertahankan reputasi baik AHM sebagai pasukan terbaik kelas CP115 dua tahun berturut-turut sejak 2010.
“Mungkin agak janggal apabila meletakkan pelumba kurang berpengalaman bersaing dalam kategori elit manakala pelumba senior beraksi dalam kelas pertengahan namun kami percaya langkah ini sebenarnya mendatangkan kebaikan buat pasukan.
“Berdasarkan pengalaman Shahril dan Iskandar, mereka mempunyai peluang yang lebih besar untuk meraih gelaran juara individu dan berpasukan keseluruhan CP115.
“Ramdan dan Zulsyafiz pula membuktikan sebelum ini mereka cepat menyesuaikan diri di mana Ramdan berupaya memenangi satu pusingan dan menaiki podium sebanyak dua kali pada musim pertama beraksi dalam kategori CP130 tahun lalu, manakala Zulsyafiz bergelar juara Wira 2011,” kata Kenny.
Mengulas tentang perkembangan yang ditunjukkan pasukannya selepas mengharungi empat pusingan setakat ini, Kenny menjelaskan: “Isu utama yang menghalang kami daripada meraih keputusan baik ketika ini banyak berkaitan dengan masalah pelarasan jentera. Kami mengambil risiko pada tiga pusingan awal mencuba pelbagai alat ganti baharu dan ini memakan sedikit masa sebelum kami berjaya menyelesaikan isu-isu teknikal yang timbul.
“Berdasarkan keputusan yang diperoleh Ramdan pada Pusingan 4 di Banting baru-baru ini, kami yakin untuk memberikan saingan sengit pada perlumbaan CP130 di Teluk Intan hujung minggu ini. Zulsyafiz pula memerlukan sedikit masa kerana ini merupakan tahun pertama dia bersaing dalam kategori perdana. Bagi Shahril dan Iskandar pula, saya yakin mereka mampu memberikan aksi terbaik dalam kategori CP115 seperti mana ditunjukkan pada empat pusingan awal musim ini."
No comments:
Post a Comment