Tuesday, June 5, 2012


JAZEMAN MULA PAMER TARING

JAZEMAN Jaafar mempamer aksi cemerlang apabila menduduki tempat ketiga, kelima dan kesepuluh buat pasukan Carlin pada perlumbaan kereta Formula 3 (F3) Siri Eropah di Red Bull Ring Spielberg, Austria minggu lepas.
Pencapaian pemandu muda negara itu sekali gus menjadi bukti terhadap kemampuan sebenarnya selepas berjaya menaiki podium dalam setiap saingan F3 yang disertainya musim ini.
Perlumbaan di Red Bull Ring Spielberg itu merupakan penampilan kedua Jazeman pada kejuaraan tersebut dalam kempennya melengkapkan F3 Britain yang turut bakal memberinya lebih banyak peluang beraksi di atas litar lumba.
Pada sesi ujian sebelum perlumbaan, pemandu Malaysia itu berada dalam kelompok 10 pemandu terbaik dan mencatat masa kesembilan terpantas.
Dalam pusingan kelayakan pula, Jazeman mencatat masa yang melayakkan dia bermula di petak keenam pada perlumbaan pertama dan petak kesembilan pada perlumbaan ketiga manakala kedudukan petak bagi perlumbaan kedua pula ditentukan daripada keputusan saingan pertama.
Pada perlumbaan pertama, Jazeman bermula dengan baik di petak keenam dan bersaing dengan rakan sepasukan, Carlos Sainz.
Selepas dua pemandu di hadapannya dikenakan penalti masa, Jazeman pula berjaya memperbaiki kedudukannya.
Dia menduduki tempat keempat sebelum rakan sepasukannya, Sainz terbabas di pusingan terakhir, sekali gus menghadiahkan kejayaan podium kedua dalam Siri F3 Eropah buat dirinya.
Pada perlumbaan kedua pula, jazeman sekali lagi beraksi dengan baik di petak keenam, namun pemandu kelahiran Kuala Lumpur itu hanya mampu menamatkan saingan 13 pusingan tersebut di tempat kelima.
Pada saingan terakhir, Jazeman bermula di petak kesembilan dan sekali lagi mempamer pemanduan yang baik.
Namun, pegawai perlumbaan mendapati dia bermula terlalu awal dan mengenakan penalti masa kepadanya, sekali gus menyaksikan pemandu berusia 19 tahun jatuh ke kedudukan ke-16.
Jazeman bagaimanapun berjaya memperbaiki kedudukan tersebut dan menamatkan saingan di tempat kesepuluh.
“Walaupun mencatat keputusan yang berbeza, namun keseluruhannya saya tetap gembira kerana dapat menaiki podium dan menduduki kelompok 10 pemandu terbaik dalam tiga pusingan perlumbaan,” kata Jazeman.
“Kali ini saya mendapat pengalaman yang cukup berharga dan ia juga satu cabaran yang berbeza bagi saya.
“Saya juga mencatat masa kedua terpantas dalam perlumbaan ini yang mana ia mungkin menunjukkan potensi sebenar pasukan kami dan kesungguhan saya untuk terus berjuang sehingga ke hujung perlumbaan,” jelasnya.
Pemandu pasukan Carlin itu akan kembali semula ke Britain untuk beraksi di pusingan keempat dalam Siri F3 Antarabangsa Britain di Litar Rockingham, Corby minggu depan.

No comments:

Post a Comment