Sunday, April 14, 2019


PUSINGAN KEDUA KEJUARAAN CUB PRIX MALAYSIA PETRONAS 2019

AZROY HAKEEM SUKAR DIGUGAT

14 APRIL 2019- Pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar semakin sukar digugat pada kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019.
Walaupun kejuaraan itu baru melangkah ke pusingan kedua di Litar Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini, namun Azroy terus konsisten untuk bergelar juara.
Pada pusingan pertama di Jasin, Melaka, 18 Mac lalu dia turut memegang mahkota juara dalam kelas CP150.
Hari ini, di Batu Kawan, dia sekali lagi membuktikan kehebatannya untuk bergelar juara buat kali kedua berturut-turut.
Pada saingan hari ini, Azroy memulakan perlumbaan dengan cemerlang untuk memintas Md Akid Aziz yang memulakan perlumbaan di petak pertama.
Akid yang kemudiannya cuba untuk mengejar terpaksa menarik diri daripada perlumbaan setelah terjatuh seawal lap pertama manakala Md Helmi Azman yang ketika itu sedang mendahului perlumbaan mengalami masalah jentera pada pusingan kedua, sekaligus membuka ruang selesa buat Azroy untuk terus menguasai perlumbaan.
Juara bertahan, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing) yang mengekori di belakang gagal dengan usahanya untuk memintas Azroy. Azroy bijak menutup ruang buat pencabarnya itu  sekligus muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat.
Azroy menamatkan perlumbaan 20 pusingan itu dengan masa keseluruhan 17’34.904s diikuti Afif dengan masa 17’35.080s. 
Pelumba senior, Ahmad Fazrul Sham bangkit menebus kehampaan pada pusingan pertama apabila melengkapkan kedudukan podium dengan masa 17’45.922s.
“Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan kerana telah bekerja keras untuk membantu saya memenangi perlumbaan minggu ini, begitu juga dengan sokongan keluarga dan penaja,” jelas Azroy yang kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 50 mata.
Tambahnya: “Pada penghujung perlumbaan saya menyedari Afif berada dekat dengan saya jadi saya perlu menutup ruang dan berjaya mempertahankan kedudukan sehingga ke garisan penamat".
Kejayaan menamatkan perlumbaan di tempat kedua turut membantu Afif untuk naik ke kedudukan kedua keseluruhan dengan mengumpul 33 mata diikuti Fazrul dengan 27 mata.
Sementara itu, dalam saingan CP115 menyaksikan Md Syafiq Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) yang memulakan perlumbaan di petak pertama berjaya mendominasi perlumbaan 15 pusingan untuk muncul juara dengan masa keseluruhan 13:45.133s.
Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing) yang bermula di petak kelima muncul naib juara dengan masa keseluruhan 13:45.224s, sekaligus meletakkannya selaku pendahulu keseluruhan dengan 40 mata.
Duo Motul Yamaha YY Pang, Md Adib Rosley dan Md Fareez Afeez Abd Rahman menamatkan saingan di kedudukan ketiga dan keempat, masing-masing dengan masa 13:45.823 dan 13:46.258.
Dalam saingan kategori WIRA, Md Aliff Danial M Asri (PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing muncul juara dengan masa keseluruhan 11:22.864s diikuti Md Sharul Ezwan M Sharil (AFB TECH Racing) kedua, 11:23.957s dan rakan sepasukan Md Aliff, Md Haziq Rosmaza ketiga, 11:25.946s.
Dua podium dalam dua perlumbaan membantu Md Sharul Ezwan M Sharil untuk mendahului kedudukan keseluruhan dengan 36 mata.

KEPUTUSAN
CP150
Perlumbaan Akhir
1 Azroy Hakeem Anuar (SGR) Idemitsu Honda Yuzy Racing 17:34.904s
2 Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing 17:35.080s
3 Ahmad Fazrul Sham (PRK) AHM Motorsports Yamaha Racing 17:45.922s
4 Md Fitri Ashraff Razali (SGR) Cilik RCB Motorsport 17:46.016s
5 Md Iqbal Amri Abdul Malek (SGR) AHM Motorsports Yamaha Racing 17:47.495s

Kedudukan Keseluruhan
1 Azroy Hakeem Anuar (SEL) Idemitsu Honda Yuzy Racing 50 mata
2 Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing 33 mata
3 Ahmad Fazrul Sham (PRK) AHM Motorsports Yamaha Racing 27 mata
4 Md Zaqhwan Zaidi (SEL) Idemitsu Honda Yuzy Racing 25 mata
5 Md Helmi Azman (SEL) Hi Rev SCK Honda Racing 20 mata

CP115
Perlumbaan Akhir
1 Md Syafiq Rosli (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 13:45.133s
2 Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing 13:45.224s
3 Md Adib Rosley (SEL) Motul Yamaha YY Pang Racing 13:45.823
4 Md Fareez Afeez Abd Rahman (JHR) Motul Yamaha YY Pang Racing 13:46.258
5 Md Aiman Azman (KUL) Idemitsu Honda Yuzy Racing 13:52.445s

Kedudukan Keseluruhan
1 Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing 40 mata
2 Md Fareez Afeez Abd Rahman (JOH) Motul Yamaha YY Pang Racing 38 mata
3 Md Syafiq Rosli (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 25 mata
4 Md Aiman Azman (KUL) Idemitsu Honda Yuzy Racing 21 mata
5 Md Khairi Asyraf Mahmood (JOH) Motul Yamaha YY Pang Racing 19 mata

WIRA
Perlumbaan Akhir
1 Md Aliff Danial M Asri (JOH) PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing 11:22.864s
2 Md Sharul Ezwan M Sharil (SEL) AFB TECH Racing 11:23.957s
3 Md Haziq Rosmaza (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing 11:25.946s
4 Daniel El Fahim Harris El Hadi (PP) AFB TECH Racing 11:26.191s
5 Md Adib M Asri (JOH) ELF Koyoko Honda KC Racing Team 11:34.726s

Kedudukan Keseluruhan
1 Md Sharul Ezwan M Sharil (SEL) AFB TECH Racing 36 mata
2 Md Zaki A Zamri (SEL) William #LLRKS CYT Racing 35 mata
3 Md Aliff Danial M Asri (JOH) PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing 30 mata
4 Md Adib M Asri (JOH) ELF Koyoko Honda KC Racing Team 24 mata
5 Daniel El Fahim Harris El Hadi (PP) AFB TECH Racing 23 mata


No comments:

Post a Comment