Friday, September 6, 2019




ADIB bertekad untuk berada dalam kelompok lima terbaik pada saingan di Teluk Intan.

CUB PRIX: PERSAINGAN SEMAKIN RANCAK


KUALA LUMPUR, 4 Sept – Persaingan dalam kalangan pelumba pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 semakin rancak dan mencabar.

Selepas selesai 5 pusingan perlumbaan setakat ini, setiap pelumba terus memperlihatkan cabaran sengit dalam misi untuk mengukuhkan kedudukan dalam carta keseluruhan.

Suasana tersebut amat ketara pada saingan Pusingan 5 di Kuala Terengganu dua minggu lalu yang menyaksikan setiap pelumba tampil maksimum untuk mengejar penyudah podium.

Kemampuan jentera juga dikerah ke tahap maksimum sehingga ada yang berdepan masalah mekanikal, dan akibatnya gagal menamatkan perlumbaan.

Tidak kurang juga yang terjatuh kerana terlalu mengikut emosi untuk menempatkan diri dalam kelompok hadapan.

Namun, jentera yang stabil sepanjang perlumbaan membuahkan hasil lumayan dengan berbekalkan strategi mantap untuk menguasai perlumbaan.

Pada saingan di Terengganu, kemampuan dua jentera utama dalam gelanggang Cub Prix nampak seimbang dan tiada lagi penguasaan seperti yang berlaku di Pontian sebelum ini.

Pelumba yang menunggang jentera Honda kembali mempamerkan keyakinan seperti yang dibuktikan oleh Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) yang menjuarai perlumbaan kelas CP150.

Kemenangan tersebut ternyata melegakan Azroy selepas kehilangan mata pada Pusingan 4 di Pontian bulan lalu gara-gara gagal menamatkan perlumbaan.

Ia kemenangan ketiga buat Azroy musim ini selepas tampil garang pada saingan Pusingan 1 dan 2 sebelum ini.

Turut mencuri tumpuan pada sangan di Terengganu itu adalah kejutan yang dilakar oleh pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team, Nazirul Izzat Bahauddin yang meraih podium pertamanya musim ini.

Izzat menamatkan perlumbaan tersebut di tempat kedua, menewaskan pelumba tuan rumah, Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing).

Begitupun, Afif masih kekal mendahului kedudukan keseluruhan dengan 94 mata sambil dikejar rapat oleh Azroy yang sudah mengumpul 80 mata.

Bagi kelas CP115 pula, jentera Yamaha masih membuktikan keunggulannya apabila dua pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing melakukan penamat satu dua.

Md Adib Rosley muncul juara manakala rakan sepasukannya, Md Fareez Afeez Abd Rahman berada di tempat kedua.

Kejutan turut berlaku dalam kelas CP115 di Kuala Terengganu apabila Shahrol Syazras Shahrol Yuzy meraih podium pertamanya musim ini selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Pendahulu keseluruhan, Ahmad Syukran Aizat Yusoff (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) yang kurang menyerlah di Kuala Terengganu, kekal selesa memimpin kedudukan.

Aizat kini sudah mengumpul 84 mata diikuti Fareez di tempat kedua dengan 69 mata.

Jaguh kelas Wira, Md Zaki Zamri kurang bernasib baik di Kuala Terengganu kerana dia gagal menamatkan perlumbaan gara-gara masalah mekanikal.

Namun, pelumba pasukan MOS William #LLRKS CYT Racing itu masih unggul memimpin carta keseluruhan dengan 85 mata.

Nasib malang yang dialami Zaki itu telah memberi ruang kepada pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing, Md Aliff Danial Asri untuk muncul juara dan ia merupakan kemenangan kedua Zaki musim ini.

Minggu ini, mereka akan kembali ke gelanggang untuk mengharungi saingan Pusingan 6 di Teluk Intan, Perak.

Ia pasti menjanjikan persaingan sengit kerana para pelumba kini lebih fokus untuk memburu sebanyak mungkin mata bagi mengukuhkan kedudukan masing-masing.

Dengan berbaki empat pusingan lagi untuk musim ini, setiap mata yang dikutip amat berharga buat mereka.

Namun, ada juga pelumba yang tidak begitu yakin menghadapi saingan di Teluk Intan kerana kurang menggemari keadaan litar.

Adib yang tampil cemerlang di Kuala Terengganu, mengakui secara terbuka bahawa dia tidak meletakkan sebarang sasaran di Teluk Intan.
“Saya kurang berminat litar di Teluk Intan, namun akan cuba untuk menampilkan yang terbaik. Kalau saya mampu menamatkan perlumbaan dalam kelompok lima terbaik, ia sudah dianggap pencapaian cemerlang,” jelas pelumba asal Selangor itu.

Apakah saingan di Teluk Intan minggu ini bakal menyaksikan satu lagi kejutan atau nama-nama besar dalam sukan permotoran meneruskan penguasaan mereka dalam setiap kategori yang dipertandingkan.

Berdasarkan kpeutusan di Kuala Terengganu, kelompok elit sudah tidak boleh berasa selesa kerana kemampuan pelumba lain turut memperlihatkan rentak yang semakin meyakinkan.

Kesudahannya nanti, sudah pasti bergantung dengan prestasi jentera masing-masing.

No comments:

Post a Comment