Friday, September 6, 2019

MD AKID mengharapkan kestabilan jentera bagi menghadapi saingan di Teluk Intan.


MISI MEMBURU PODIUM BERTERUSAN DI TELUK INTAN

TELUK INTAN, 6 Sept – Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 singgah di Teluk Intan, Perak minggu ini.

Ia akan menjadi destinasi untuk Pusingan 6 kejuaraan tersebut yang kini semakin menampilkan persaingan sengit dalam kalangan pelumba.

Situasi itu berlaku kerana para pelumba sudah tidak rela kehilangan mata lagi dalam misi memburu kedudukan terbaik dalam carta keseluruhan.

Selain itu, kejuaraan musim ini juga semakin menghampiri penghujung saingan dan setiap mata yang dikutip amat berharga.

Selepas selesai saingan di Teluk Intan minggu ini, para pelumba masih ada empat pusingan lagi untuk diharungi dan atas alasan itulah setiap mata yang dikutip amat penting buat semua pasukan mahu pun pelumba.

Barisan pelumba yang berada dalam kelompok lima teratas tidak akan membiarkan kedudukan mereka tergugat manakala pelumba dalam kelompok belakang terus bekerja keras untuk memberi saingan.

Persaingan sihat ini juga berlaku dalam kalangan pasukan yang mengejar gelaran juara keseluruhan bagi musim 2019.

Suasana ini mula dibuktikan pada saingan Pusingan 5 di Kuala Terengganu dua minggu lalu sehingga menyaksikan beberapa kejutan berlaku.

Pelumba yang jarang meraih penamat podium dalam beberapa pusingan lepas, tiba-tiba mencipta nama sebagai pemenang, antaranya Nazirul Izzat Bahauddin (ONEXOX TKKR SAG Team) yang menduduki tmepat kedua kelas CP150 dan juga pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Ahahrol Syazras Shahrol Yuzy yang meraih tempat ketiga dalam kelas CP115.

Ini membuktikan bahawa semua pelumba kini sudah memasang strategi masing-masing, sekali gus menjadikan saingan semakin rancak dan menarik untuk ditonton.

Minggu ini, giliran Teluk Intan pula akan menjadi pentas buat para pelumba untuk meneruskan misi mencari mata berharga dan para peminat bakal disajikan dengan satu lagi aksi luar biasa daripada semua pasukan.

Begitupun, Litar Teluk Intan tidak begitu digemari sebahagian daripada para pelumba kerana bentuknya yang agak teknikal dan mencabar.

Litar sepanjang 1.3 kilometer itu mempunyai tujuh selekoh dengan selekoh 3, 4, 6 dan 7 dianggap paling mencabar.

Berdasarkan pencapaian para pelumba pada edisi 2017 dan 2018, pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran dianggap memiliki kepakaran menawan litar Teluk Intan.

Afif telah muncul juara kelas CP150 pada dua edisi tersebut manakala Kasma Daniel Kasmayudin menguasainya pada edisi 2016.

Mampukah Afif mengulangi pencapaian tersebut hujung ini selepas sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada Pusingan 5 di Terengganu dua minggu lalu.

Pelumba lain yang turut memiliki rekod cemerlang di Teluk Intan sebelum ini adalah pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz yang muncul juara pada edisi 2016 dan 2017 ketika dia beraksi dalam kelas CP115.

Kini, pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu sudah beralih ke kelas CP150 dan turut menjadi pencabar terkuat untuk memburu gelaran juara keseluruhan musim ini.

Minggu ini, Akid berharap untuk melakukan penyudah podium dalam usahanya untuk mengukuhkan kedudukan dalam carta keseluruhan.

“Saya akan mengharungi perlumbaan di Teluk Intan seperti biasa dengan sasaran untuk dapatkan podium.

“Saya juga berharap agar mendapat pelarasan jentera terbaik dan pantas kerana ia akan memudahkan tugas untuk meralisasikan sasaran. Kami juga sudha mengenal pasti beberapa kelemahan yang belaku dalam pusingan lepas,” jelas Akid ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, dia juga sudah biasa dengan keadaan litar di Teluk Intan, tetapi perlu berhati-hati ketika mengharungi selekoh 3 dan 4.

“Kalau pada edisi tahun lalu, dua selekoh ini memang agak sukar tetapi saya akan melakukan yang terbaik untuk mengatasinya.

“Petang ini, saya akan mengelilingi kawasan litar selepas selesai sesi taklimat bagi membaca situasi litar yang akan menjadi gelanggang pertarungan minggu ini,” ujarnya lagi.

Selepas mengharugi 5 pusingan perlumbaan setakat ini, Afif kekal mendahului kedudukan keseluruhan kelas CP150 dengan 94 mata manakala kelas CP115 diungguli Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) yang sudah mengumpul 84 mata.

Kelas Wira pula dipimpin pelumba pasukan MOS William #LLRKS CYT Racing, Md Zaki Zamri dengan 85 mata.


No comments:

Post a Comment