Monday, September 9, 2019



Tengku Amirul (tengah) muncul juara CP150 di Teluk Intan
TENGKU AMIRUL KOTAKAN JANJI TAWAN TELUK INTAN

TELUK INTAN, 8 Sept – Cengkaman pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 semakin kukuh.
Hari ini, pada saingan Pusingan 6 di Teluk Intan, pelumba pasukan tersebut sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila muncul juara perlumbaan akhir kelas CP150.
Ia diperoleh menerusi Tengku Amirul Haffirudin yang muncul juara pada perlumbaan 12 pusingan itu dengan catatan masa 10:34.956 saat (s).
Rakan sepasukan Amirul, Md Azhar Abd Jalil menduduki tempat ketiga dengan masa 10:38.974s.
Tempat kedua menjadi milik Md Helmi Azman (Hi Rev SCK Honda Racing) dengan masa 10:36.206s.
Amirul yang melakukan catatan masa terpantas pada sesi kelayakan semalam, telah mengotakan janjinya untuk meneruskan momentum cemerlang itu pada perlumbaan sebenar hari ini.
Ia merupakan kemenangan pertama pelumba asal Terengganu itu musim ini selepas sering gagal dengan beberapa percubaannya sebelum ini.
“Kemenangan ini sangat bermakna buat saya selepas gagal untuk melakukannya di tempat sendiri pada Pusingan 5 (di Terengganu) dua minggu lalu.
“Kali ini, saya berjaya mengatasi kekecewaan itu dan terima kasih kepada krew pasukan yang telah menyediakan jentera terbaik buat saya.
“Saya telah memaksimumkan kemampuan jentera dan ia tetap stabil sehingga tamat perlumbaan. Saya juga mengambil langkah berhati-hati kerana saya tahu bakal berdepan tentangan sengit daripada Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing),” jelas Amirul.
Afif yang gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh, kekal mendahului kedudukan keseluruhan dengan 94 mata diikuti rapat oleh Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) yang mengumpul 88 mata.
Azroy yang menjuarai perlumbaan pada Pusingan 5 di Terengganu dua minggu lalu, sekadar menamatkan saingan di tempat kelapan hari ini.
Amirul pula menghuni kedudukan ketiga keseluruhan setakat ini dengan 61 mata.
Bagi kelas CP115, Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) kembali mempamerkan taringnya apabila muncul juara dengan catatan masa 9:44.542s, sekali gus mengatasi kekecewaannya pada Pusingan 5 di Terengganu sebelum ini.
Tempat kedua menjadi milik Md Syafiq Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan masa 9:44.549s manakala Md Aiman Azman (Idemitsu Honda Yuzy Racing) di tempat ketiga dengan catatan masa 9:47.745s.
Ini merupakan kemenangan pertama Aizat musim ini selepas konsisten dengan penamat selaku naib juara dalam empat pusingan lepas kecuali di Terengganu yang menyaksikannya menduduki tempat ke-12.
Kemenangan tersebut terus mengukuhkan kedudukan Aizat untuk memburu gelaran juara keseluruhan musim ini selepas mengumpul 109 mata.
Sementara itu, pelumba pasukan MOS William #LLRKS CYT Racing,  Md Zaki Ahmad Zamri menepati ramalan apabila muncul juara kelas Wira.
Zaki menamatkan perlumbaan tersebut dengan catatan masa 8:01.922s, meninggalkan pencabarnya, Md Aliff Danial Md Asri (Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing) yang berada di kedudukan kedua dengan masa 8:02.100s.
Tempat ketiga menjadi milik Md Adam Haikal Jahar (Pertonas Sprinta Yamaha-31 Racing) dengan masa 8:09.292s.
Kemenangan Zaki itu semakin menghampiri impiannya untuk bergelar juara keseluruhan selepas mengutip 110 mata sebaik selesai saingan pusingan 6 di Teluk Intan hari ini.
Begitupun perlumbaan bagi kelas Wira hari ini terpaksa diadakan semula selepas ia dihentikan akibat hujan lebat yang melanda bandar Teluk Intan.
Perlumbaan ditangguhkan hampir sejam setengah sebelum pegawai perlumbaan mengesahkan keadaan litar selamat digunakan selepas dilanda hujan lebat.
Aksi seterusnya akan berlangsung di Kangar, Perlis yang menjadi tuan rumah untuk Pusingan 7.

Keputusan (5 teratas)
CP150
Tengku Amirul Haffirudin (Motul Yamaha YY Pang Racing) -10:34.956s
Md Helmi Azman (Hi Rev SCK Honda Racing) – 10:38.206s
Md Azhar Abd Jalil (Motul Yamaha YY Pang Racing) – 10:38.974s
Fakhrusy Syakirin Rostam (ONEXOX TKKR SAG Team) – 10:39.237s
Md Izzat Zaidi Md Salehan (Motul Yamaha YY Pang Racing) – 10:42.382s

CP115
Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) – 9:44.542s
Md Syafiq Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) – 9:44.549s
Md Aiman Azman (Idemitsu Honda Yuzy Racing) – 9:47.745s
Md Syarifuddin Azman (Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing) – 9:47.807s
Md Afiq Asyraf Zulkifli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) – 10:01.980s

Wira
Md Zaki Zamri (MOS William #LLRKS CYT Racing) – 8:01.922s
Md Aliff Danial Asri (Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing) – 8:02.100s
Md Adam Haikal Jahar (Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing) – 8:09.292s
Md Izzat Raduan (ONEXOX SAG Team) – 8:12.750s
Md Izham Hanafi Amran (Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing) – 8:14.453s
































No comments:

Post a Comment