AMIRUL terpantas pada sesi kelayakan CP150 |
TELUK INTAN, 7 Sept – Pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing, Tengku Amirul Haffirudin memberi amaran awal apabila mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan kelas CP150 di Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas yang membuka tirai di Teluk Intan, Perak hari ini.
Amirul menamatkan sesi tersebut dengan catatan masa terpantas sepusingan 51.185 saat (s), meninggalkan pelumba pilihan, Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) dengan perbezaan masa 0.176s.
Pencapaian yang diraih pelumba asal Terengganu itu membolehkannya untuk menduduki barisan hadapan pada saingan Superpole esok.
Catatan masa yang dilakukannya pada sesi kelayakan itu turut memberi keyakinan kepada Amirul untuk meneruskan rentak cemerlang pada perlumbaan sebenar nanti.
Selain itu, litar di Teluk Intan merupakan litar kegemarannya kerana pernah beberapa kali melakar penamat podium sebelum ini ketika bersaing dalam kelas P115.
Dia juga mengakui memiliki rekod cemerlang ketika beraksi di Litar Teluk Intan.
“Litar di Teluk Intan bukan asing buat saya. Saya pernah beberapa kali mencipta kemenangan di litar ini. Momentum cemerlang pasukan kami dalam beberapa pusingan lalu turut memainkan peranan untuk mendorong saya tampil cemerlang,” jelas Amirul.
Pada saingan Pusingan 5 di Terengganu dua minggu lalu, Amirul sekadar menamat perlumbaan di tempat kesembilan.
Pengurus pasukan, Pang Yok You ketika diminta mengulas prestasi anak buahnya itu menjelaskan bahawa buat masa ini persiapan mereka berjalan agak lancar.
Malah, dia berpuas hati dengan apa yang dibuktikan barisan pelumbanya yang semakin yakin mengejar penyudah podium.
“Saya agak puas hati terutama dengan persiapan kami bagi menghadapi saingan di Teluk Intan. Prestasi jentera juga baik, tetapi ia akan menjadi lebih baik kalau kami menang,” jelas Yok You atau lebih dikenali sebagai YY Pang.
Dia berharap barisan pelumbanya berupaya mengekalkan momentum cemerlang pada aksi di Teluk Intan, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka dalam carta keseluruhan.
Afif yang menjuarai kelas CP150 pada saingan di Teluk Intan musim lalu, menamatkan sesi kelayakan dengan catatan masa 51.361s untuk berada di kedudukan kedua terpantas manakala Md Aiman Tahiruddin di tempat ketiga dengan 51.629s.
Sementara itu, dalam kelas CP115, Md Aiman Azman (Idemitsu Honda Yuzy Racing) mencatat masa terpantas bagi sesi kelayakan A dengan catatan masa 54.950s diikuti Md Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing) yang turut menamatkan saingan dengan masa 54.950s.
Tempat ketiga terpantas menjadi milik pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff dengan masa 55.061s.
Sesi kelayakan B pula menyaksikan Md Syafiq Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) muncul terpantas dengan masa 54.313s.
Bagi sesi kelayakan kelas Wira pula, ia dikuasai dua pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing, Md Adam Haikal Jahar dan Md Aliff Danial Asri yang menyaksikan Adam mencatat masa terpantas kelayakan A dengan masa 55.457s manakala Aliff Danial pula melakukan catatan terpantas 55.135s dalam sesi kelayakan B.
No comments:
Post a Comment