Friday, April 12, 2019

Cub Prix Malaysia Petronas 2019: Batu Kawan jadi ujian jentera Honda


Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019

Batu Kawan jadi ujian sebenar jentera Honda


12 APRIL 2019 - Saingan pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 bakal menjadi medan untuk sekali lagi membuktikan kemampuan jentera Honda.
Ia diakui naib juara kelas CP150 pada pusingan pertama di Jasin, Melaka 18 Mac lalu, Md Helmi Azman yang merupakan tonggak pasukan Hi Rev SCK Honda Racing musim ini.
Menurut Helmi, Litar Batu Kawan di Pulau Pinang yang akan menjadi venue untuk pusingan kedua hujung minggu ini, bakal menjadi ujian sebenar buat para pelumba yang memacu jentera Honda.
Pada saingan di Jasin, Melaka sebelum ini, tiga pelumba yang menunggang jentera Honda telah menguasai saingan bagi kelas CP150 yang menyaksikan pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar muncul juara manakala Md Zaqwan Zaidi (Idemitsu Honda Yuzy Racing) berada di tempat ketiga.
Walaupun masih terlalu awal untuk membuat ramalan, namun permulaan yang menakjubkan itu membawa petanda bahawa jentera Honda bakal menggegar gelanggang saingan Cub Prix musim ini.
Di sebalik kecemerlangan itu, faktor litar tetap memainkan peranan penting.
Pada saingan di Jasin, Helmi menyifatkan bahawa faktor litar telah memberi kelebihan kepada mereka untuk memaksimumkan keupayaan jentera Honda.
Menurutnya, sudut selekoh di Litar Jasin agak lebar dan laju dan ia telah memberi kelebihan kepada mereka untuk mengekalkan kelajuan.
Begitupun katanya, litar di Batu Kawan agak berbeza kerana ia lebih berbentuk teknikal.
"Walaupun laluan lurus di Litar Jasin mempunyai jarak 159 meter berbanding Batu Kawan dengan 293 meter, namun sudut selekoh kedua-dua litar berkenaan agak berbeza.
"Di Batu Kawan, sudut selekoh agak kecil, malah terdapat bulatan yang akan memperlahankan kelajuan jentera dan ia mungkin memberi kelebihan kepada jentera Yamaha. Sudut selekoh kecil ini banyak memberi kelebihan kepada jentera Yamaha seperti mana yang mereka buktikan musim lalu.
"Begitupun, ia bukan alasan kerana kami akan tampil lebih berhati-hati dalam misi untuk memaksimumkan kemampuan jentera Honda. Ia bergantung dengan kecekapan para pelumba bagaimana untuk mengatasi rintangan pada setiap selekoh," jelas juara kelas Underbone 150cc Asia 2018 itu.
Pada saingan di Batu Kawan kali ini, Helmi sekali lagi meletakkan sasaran untuk berada di podium, sekali gus menjulang kehebatan jentera Honda.

Kedudukan pelumba (5 teratas) selepas pusingan pertama (CP150cc)
  1. Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing)         - 41 mata
  2. Md Aliff Aiman Tumiran (Hi Rev SCK Honda Racing)          - 22
  3. Md Shafiq Rasol (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) - 21 
  4. Md Akid Aziz (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor).       - 19
  5. Ahmad Fazrul Sham (AHM Motorsports Yamaha Racing) - 16

Pusingan kedua
Venue: Litar Batu Kawan
Tarikh: 13-14 April 2019

No comments:

Post a Comment