Friday, April 12, 2019

'KERANA NILA SETITIK, ROSAK SUSU SEBELANGA'

Keratan laporan SarawakFA.com.my
 12 April 2019 - Pada 5 April lalu, bolasepak Sarawak dikejutkan dengan dakwaan skandal pecah amanah oleh bekas exco Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Razali Dolhan yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL).
Walaupun belum terbukti tersabit dengan kesalahan tersebut, namun Presiden FAS, Datuk Posa Majais dilaporkan sudah mengemukakan aduan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Sarawak di Jalan Laksamana Cheng Ho, Kuching.
Aduan tersebut adalah untuk membolehkan pihak SPRM menjalankan siasatan serta-merta terhadap mantan Setiausaha Agung FAS itu.
Menurut laporan yang dipaparkan dalam SarawakFA.com.my, kesalahan pecah amanah itu yang berlaku pada tahun 2017, melibatkan dana berjumlah lebih RM500,000 
Posa dilaporkan terpaksa membuat laporan kerana pihaknya telah beberapa kali menemukan skandal pecah amanah dilakukan oleh mantan Setiausaha FAS itu demi untuk menjaga nama baik FAS.
Tindakan tersebut adalah untuk memastikan FAS bebas daripada individu yang mempunyai kepentingan mahupun agenda peribadi terhadap persatuan.
Begitupun, Razali tampil dengan kenyataan bahawa tuduhan ke atasnya adalah tidak berasas sama sekali.
Malah, beliau mahukan FAS menarik balik kenyataan media terhadap tuduhan yang tidak berasas itu.
Razali juga mejelaskan bahawa beliau mengetahahui siapa dalang di sebalik skandal berkenaan.
Walaupun dakwaan ini masih di peringkat awal sama ada sahih atau sebaliknya, tetapi kesannya pasti membawa imej buruk dalam FAS.
Bak kata pepatah, "Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga".
Ini yang menjadi kebimbangan ketika Sarawak sedang gigih melakukan program pembangunan di peringkat akar umbi.
Program-program seperti itu memerlukan dana bagi menjamin kelancarannya.
Jika apa yang berlaku atau melanda FAS ketika ini adalah benar, ia pasti akan mengundang kesukaran untuk mendapatkan dana pada masa akan datang.
Perlu diingat, tiada penaja mahu bekerjasama dengan mana-mana persatuan yang mempunyai rekod buruk dalam pengurusan kewangan.
Penaja mahukan dana yang mereka salurkan dipergunakan sebaik mungkin, terutamanya dalam menguruskan pasukan utama, program-program pembangunan dan juga yang berkaitan dengan kebajikan para pemain.
Apa pun, diharapakan agar perkara seperti ini tidak berlaku kerana misi FAS untuk mengembalikan kegemilangan bolasepak Sarawak masih belum tercapai.
Khabar buruk ini sebenarnya tidak pernah berlaku dalam FAS dan mereka antara persatuan paling bersih sejak di bawah kepimpinan Allahyarham Datuk Taha Ariffin.
Fokus perjuangan ketika itu adalah untuk meletakkan Sarawak antara pasukan yang digeruni.
Tapi sayang, imej bersih itu gagal dipertahankan, sekali gus turut memberi kesan terhadap prestasi bolasepak Sarawak.
Apa yang diharapkan adalah agar situasi sekarang tidak menjejaskan segala perancangan yang telah dirangka oleh FAS untuk memulihkan kegemilangan Bujang Senang.
Jika benar dakwaan pecah amanah ini betul-betul berlaku, memang wajar disesali oleh seluruh peminat bolasepak di Bumi Kenyalang kerana jumlah yang dilaporkan itu boleh menampung kos pengurusan skuad Sarawak dalam saingan Liga Malaysia.
Diharapkan agar berita kurang enak ini tidak mempengaruhi perjuangan skuad Bujang Senang yang ketika ini masih bergelut untuk mendapatkan rentak terbaik dalam Liga M.


No comments:

Post a Comment